Email This Print This News

MBSB Buka Pusat Jualan Dan Perkhidmatan Baru Di Tebrau

BackJan 15, 2010

Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi MBSB hari ini melancarkan Pusat Jualan dan Perkhidmatan terbarunya di Tebrau, Johor menjadikan keseluruhan 32 Pusat Jualan dan Perkhidmatan MBSB beroperasi di seluruh Malaysia.

Menurut Tan Sri Abdul Halim, pertukaran Pusat Jualan dan Perkhidmatan Masai ke Pusat Jualan dan Perkhidmatan Tebrau ini adalah merupakan langkah strategik MBSB untuk memastikan masyarakat di Tebrau dan sekitarnya berpeluang mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari MBSB.

Beliau menambah, "Pelancaran premis baru ini melambangkan komitmen MBSB untuk menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan memantapkan lagi kemampuannya untuk memenuhi kehendak pelanggan".

Pada majlis tersebut, Tan Sri Abdul Halim turut mengumumkan pencapaian tahun 2009 terutamanya Pembiayaan Peribadi yang telah mencatatkan peningkatan melebihi 200% berbanding dengan tahun sebelumnya. Beliau turut berkata keuntungan selepas cukai 3 bulan pada suku ketiga tahun 2009 telah meningkat sebanyak 6 kali ganda kepada RM 52.6 juta berbanding dengan suku ketiga tahun 2008. Seterusnya, hasil kendalian 9 bulan berakhir 30 September 2009 menunjukkan peningkatan positif sebanyak 25% iaitu berjumlah RM 379.16 juta. Keuntungan selepas cukai 9 bulan berakhir 30 September 2009 pula adalah sebanyak RM 66.9 juta iaitu 60% lebih tinggi dari tahun kewangan berakhir 30 September 2008 berjumlah RM 41.7 juta. Walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi yang agak lembab bermula akhir tahun 2008, MBSB mampu memperolehi keuntungan yang menggalakkan.

MBSB turut mengukuhkan kedudukannya dalam Perniagaan Korporat dengan memperkenalkan Program Usahasama Musharakah sejajar dengan hala tuju syarikat untuk meletakkan MBSB di pasaran kewangan Islam. Program Musharakah ini merupakan yang pertama di Malaysia, menawarkan usahasama di sektor pengurusan hartanah, pembiayaan kontrak dan pembiayaan aset terutama sekali kepada pemaju, pemilik hartanah dan kontraktor. Ini merupakan usaha MBSB bagi memartabatkan sistem kewangan Islam di Malaysia.

Selain dari itu, MBSB juga sentiasa inovatif dalam menawarkan produk-produk lain seperti Pembiayaan Peribadi, Pembiayaan Perumahan dan Produk Simpanan.